Feb 24, 2011

Malam Silaturrahim dan Majlis Penghayatan Maulidur Rasul 2011M/1432H

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan kurniaNya dapat kita bersama - sama mengharungi kehidupan yang aman dan sentosa di negara kita khususnya di qariah Sunway Kayangan ini. Selawat dan salam juga kita panjatkan ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W., para sahabat, seterusnya muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.

Pada tanggal 15 Februari 2011 iaitu bersamaan 12 Rabiulawal 1432H adalah merupakan hari yang amat bermakna kepada umat Islam keseluruhannya. Ini kerana, pada hari tersebut lahirnya seorang insan yang agung, insan yang disanjung, insan yang menjadi idola dan contoh teladan yang lengkap bagi setiap umat manusia khususnya kaum muslimin dan muslimat sekaliannya. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan atau kemestian kepada umat Islam mengikuti segala sunnah Rasulullah S.A.W. dari segenap sudut sama ada dalam urusan pentadbiran, ekonomi, kekeluargaan dan sebagainya. Di samping itu juga, mengingati kelahiran Baginda Rasulullah S.A.W. adalah menjadi salah satu tanggungjawab ke atas kita bagi menyuburkan dan menyegarkan kembali perjuangan Baginda dan kesusahan baginda di dalam mengembangkan agama yang kita cintai ini yang mana kesannya, ISLAM menjadi agama majoriti yang dianuti di seluruh dunia sehingga ke hari ini.

Untuk itu, penduduk di qariah Sunway Kayangan telah pun mengadakan Malam Silaturrahim dan Majlis Penghayatan Maulidur Rasul pada hari Sabtu, 19 Feb 2011 bersamaan dengan 16 Rabiu'l Awal 1432H. Majlis ini telah di atur oleh ahli jawatankuasa Surau Annur dan dibantu sepenuhnya oleh penduduk - penduduk qariah secara bergotong - royong. Ianya telah di adakan di gelanggang bola keranjang SUKRA 1 dan sambutan pada malam tersebut amatlah menggalakkan di mana lebih dari 250 penduduk yang terdiri daripada muslimin dan muslimat telah berjaya hadir. Antara agenda pada malam tersebut adalah

1.Selawat beramai - ramai yang diketuai oleh Haji Zainal,

2.Tazkirah Memperingati Sunnah Rasulullah S.A.W. yang di sampaikan oleh Ust. Syed Salehuddin,

3.Taklimat ringkas berkenaan Saham Wakaf dan tabung pembinaan surau Annur yang disampaikan oleh Dr. Md Zain


4.Taklimat lengkap berkenaan status pembinaan surau Annur yang diketuai oleh En. Hamid.

Objektif utama majlis ini adalah untuk menyuburkan kembali perjuangan dan sunnah Rasulullah S.A.W. dikalangan muslimin dan muslimat khususnya ahli qariah Sunway Kayangan ini. Di samping itu, ia adalah sebuah majlis yang boleh mengakrabkan lagi hubungan sesama ahli qariah. Kita juga ingin memaklumkan kepada ahli qariah berkenaan status kewangan tabung pembinaan surau Annur dan juga status pembinaannya di samping dapat mengutip sumbangan daripada ahli qariah. Kita juga telah memaklumkan kepada ahli qariah mengenai beberapa aktiviti keagamaan yang sedang berlangsung sepanjang tahun seperti kelas tajwid, usrah dan sebagainya.

Kesimpulannya, majlis - majlis keagamaan seperti ini perlu lah diteruskan dan diperbanyakkan lagi di qariah kita. Ini kerana ianya bukan sahaja dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita di dalam syariat Islam malah ia juga penting untuk memupuk semangat kekeluargaan dan kerjasama di kalangan ahli qariah kita supaya kita semua dapat hidup aman dan sejahtera di kawasan kita. InsyaAllah.


Feb 19, 2011

Makluman Program

Satu program atau Majlis Silaturahim sempena Maulidul Rasul 1432 H akan diadakan pada hari sabtu ini iaitu pada 19 Feb 2011 bersamaan dengan 16 Rabiul Awal 1432 H.

Aturcara majlis seperti berikut:

Tempat : Padang Permainan Utama Fasa Satu

Masa : Bermula jam 7 pm

7.00 pm : Ketibaan Tetamu / Ahli qariah Sunway Kayangan.
7.30 pm : Azan dan Solat Maghrib Berjemaah
Salawat
Tazkirah

8.50 pm : Solat Isya'

9.15 pm : Jamuan Makan

9.45 pm : Ucapan Pengerusi Surau

10.00 pm : Penerangan Mengenai Pembinaan Surau

10.45 pm : Penutup dan Bersurai


Tuan puan dengan hormatnya dijemput dan diharap tidak menguzurkan diri untuk ikut serta meraikan majlis ini.


Ikhlas daripada Pengerusi dan Jawatankuasa Penganjur.