Feb 24, 2011

Malam Silaturrahim dan Majlis Penghayatan Maulidur Rasul 2011M/1432H

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan kurniaNya dapat kita bersama - sama mengharungi kehidupan yang aman dan sentosa di negara kita khususnya di qariah Sunway Kayangan ini. Selawat dan salam juga kita panjatkan ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W., para sahabat, seterusnya muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.

Pada tanggal 15 Februari 2011 iaitu bersamaan 12 Rabiulawal 1432H adalah merupakan hari yang amat bermakna kepada umat Islam keseluruhannya. Ini kerana, pada hari tersebut lahirnya seorang insan yang agung, insan yang disanjung, insan yang menjadi idola dan contoh teladan yang lengkap bagi setiap umat manusia khususnya kaum muslimin dan muslimat sekaliannya. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan atau kemestian kepada umat Islam mengikuti segala sunnah Rasulullah S.A.W. dari segenap sudut sama ada dalam urusan pentadbiran, ekonomi, kekeluargaan dan sebagainya. Di samping itu juga, mengingati kelahiran Baginda Rasulullah S.A.W. adalah menjadi salah satu tanggungjawab ke atas kita bagi menyuburkan dan menyegarkan kembali perjuangan Baginda dan kesusahan baginda di dalam mengembangkan agama yang kita cintai ini yang mana kesannya, ISLAM menjadi agama majoriti yang dianuti di seluruh dunia sehingga ke hari ini.

Untuk itu, penduduk di qariah Sunway Kayangan telah pun mengadakan Malam Silaturrahim dan Majlis Penghayatan Maulidur Rasul pada hari Sabtu, 19 Feb 2011 bersamaan dengan 16 Rabiu'l Awal 1432H. Majlis ini telah di atur oleh ahli jawatankuasa Surau Annur dan dibantu sepenuhnya oleh penduduk - penduduk qariah secara bergotong - royong. Ianya telah di adakan di gelanggang bola keranjang SUKRA 1 dan sambutan pada malam tersebut amatlah menggalakkan di mana lebih dari 250 penduduk yang terdiri daripada muslimin dan muslimat telah berjaya hadir. Antara agenda pada malam tersebut adalah

1.Selawat beramai - ramai yang diketuai oleh Haji Zainal,

2.Tazkirah Memperingati Sunnah Rasulullah S.A.W. yang di sampaikan oleh Ust. Syed Salehuddin,

3.Taklimat ringkas berkenaan Saham Wakaf dan tabung pembinaan surau Annur yang disampaikan oleh Dr. Md Zain


4.Taklimat lengkap berkenaan status pembinaan surau Annur yang diketuai oleh En. Hamid.

Objektif utama majlis ini adalah untuk menyuburkan kembali perjuangan dan sunnah Rasulullah S.A.W. dikalangan muslimin dan muslimat khususnya ahli qariah Sunway Kayangan ini. Di samping itu, ia adalah sebuah majlis yang boleh mengakrabkan lagi hubungan sesama ahli qariah. Kita juga ingin memaklumkan kepada ahli qariah berkenaan status kewangan tabung pembinaan surau Annur dan juga status pembinaannya di samping dapat mengutip sumbangan daripada ahli qariah. Kita juga telah memaklumkan kepada ahli qariah mengenai beberapa aktiviti keagamaan yang sedang berlangsung sepanjang tahun seperti kelas tajwid, usrah dan sebagainya.

Kesimpulannya, majlis - majlis keagamaan seperti ini perlu lah diteruskan dan diperbanyakkan lagi di qariah kita. Ini kerana ianya bukan sahaja dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita di dalam syariat Islam malah ia juga penting untuk memupuk semangat kekeluargaan dan kerjasama di kalangan ahli qariah kita supaya kita semua dapat hidup aman dan sejahtera di kawasan kita. InsyaAllah.


Feb 19, 2011

Makluman Program

Satu program atau Majlis Silaturahim sempena Maulidul Rasul 1432 H akan diadakan pada hari sabtu ini iaitu pada 19 Feb 2011 bersamaan dengan 16 Rabiul Awal 1432 H.

Aturcara majlis seperti berikut:

Tempat : Padang Permainan Utama Fasa Satu

Masa : Bermula jam 7 pm

7.00 pm : Ketibaan Tetamu / Ahli qariah Sunway Kayangan.
7.30 pm : Azan dan Solat Maghrib Berjemaah
Salawat
Tazkirah

8.50 pm : Solat Isya'

9.15 pm : Jamuan Makan

9.45 pm : Ucapan Pengerusi Surau

10.00 pm : Penerangan Mengenai Pembinaan Surau

10.45 pm : Penutup dan Bersurai


Tuan puan dengan hormatnya dijemput dan diharap tidak menguzurkan diri untuk ikut serta meraikan majlis ini.


Ikhlas daripada Pengerusi dan Jawatankuasa Penganjur.

Oct 20, 2010

Kelebihan Bulan Zulkaedah

Bulan Zulkaedah adalah satu dari empat bulan haram. Bulan haram adalah bulan yang amat dimuliakan. Bulan haram adalah bulan persaudaraan, perdamaian dan kemaafan.

Masyarakat kafir Quraisy menangguhkan permusuhan dan peperangan di bulan haram maka kita sebagai umat Islam hendaklah lebih menghormati bulan-bulan haram ini.

Eratkan silaturrahim, yang bermusuh, damaikanlah, yang berdendam, berlapanglah dan yang renggang, rapatkanlah, InsyaAllah hidup penuh berkat dan harmoni.

Tiada ibadah khusus dalam bulan Zulkaedah. Bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian besar ulamak mengatakan bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah dan haji tamattu' juga dimulakan di bulan Zulkaedah.

Daripada Abu Bakrah(1), sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:

Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadil Akhir dan Sya'aban.

PERISTIWA PENTING

1. Peperangan Bani Quraizah

Peperangan ini berlaku pada tahun ke 5 Hijrah. Setelah tentera Ahzab telah ditewaskan maka malaikat Jibril AS telah memberitahu Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah memerintahkan nabi agar pergi ke perkampungan Bani Quraizah.

Bani Quraizah ialah satu puak Yahudi yang telah terlibat bergabung dengan tentera Ahzab, mengepung umat Islam semasa perang Ahzab. Rasulullah SAW yang masih belum sempat melucutkan pakaian perangnya telah mengerah tentera Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah sehinggalah mereka menyerah kalah.

2. Perjanjian Hudaibiyah

Peristiwa ini terjadi pada bulan Zulkaedah, penghujung tahun ke 6 Hijrah. Antara sebab berlaku Perjanjian Hudaibiyah tersebut, Nabi SAW mengumumkan kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk berangkat pergi ke Mekkah bagi melaksanakan satu lagi ibadah iaitu dengan menunaikan ibadah umrah.

Hasil pengumuman tersebut yang diberitahu itu telah mendapat sambutan yang sangat baik oleh sekitar 1 400 orang sahabat dari kaum Muhajirin dan Ansar pada masa itu. Nabi Muhammad SAW berihram untuk ibadah umrah tersebut ditengah perjalanan dan membawa bersama-sama binatang yang boleh disembelih atau dikorbankan (al-hadyu) supaya ianya menjadi pentunjuk atau sebagai memberitahu kepada orang-orang lain bahawa Nabi Muhammad SAW keluar sedemikian bukan untuk bermaksud untuk berperang tetapi ianya semata-mata untuk menziarah ke Baitulullah iaitu Ka'abah, bagi menunaikan ibadah Umrah tersebut.

Dalam perjalanan ke Makkah, Rasulullah SAW telah disekat oleh kafir Quraisy dan dihalang dari memasuki Makkah. Berlaku beberapa perundingan dan ia membawa kepada perjanjian damai yang dinamakan "Perjanjian Hudaibiyah". Dalam perjanjian itu, Rasulullah SAW dibenarkan memasuki Makkah dan mengerjakan umrah hanya pada tahun hadapan serta tahun seterusnya dan gencatan senjata selama sepuluh tahun di antara Makkah dan Madinah.

3. Bai'atur Ridwan

Peristiwa ini berlaku sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW telah mengutus Usman RA ke Makkah untuk membahas masaalah mengapa rombongan Rasulullah SAW dihalang dari memasuki Makkah untuk mengerjakan umrah. Sesampainya di sana Usman bin Affan RA ditahan selama beberapa waktu oleh orang-orang Quraisy.

Dalam pada itu sampailah berita kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Usman bin Affan RA telah mati dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Maka Nabi Muhammad SAW dengan lantangnya menyatakan tekadnya : "Kami tidak akan tinggal diam, hingga kami berhasil menumpas kaum Quraisy".

Kemudian Rasulullah SAW mengajak berbai'at. Maka terjadilah Bai'atur Ridhwan di bawah sebatang pohon di tempat tersebut. Bai'at yang dimaksudkan ialah satu perjanjian yang berlaku antara Nabi Muhammad SAW bersama para-para sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama menentang orang-orang kafir Quraisy.

Para sahabat berbai'at kepada Nabi Muhammad SAW untuk tidak takut dan lari meninggalkan medan perang sebagai tanda membalas dendam di atas kematian yang menimpa sahabat baginda Rasulullah SAW. Sementara itu Rasulullah SAW menepukkan tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berkata : "Pembai'atan ini untuk Usman bin Affan".

Setelah pembai'atan tersebut, yang mana telah didengari oleh pihak orang-orang Quraisy, barulah datang berita yang menyampaikan kepada Rasulullah SAW bahawa khabar terbunuhnya Usman bin Affan itu tidak benar.

4. Berlakunya Haji Wida'

Pada tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji Wida' (Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin.

Haji tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW dan yang terakhir bagi baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah haji dan empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya mengikut catatan sejarah.

5. Kematian Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyah

Nama lengkap Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 66l Hijrah bersamaan 22 Januari 1263 Masihi di Harran. Beliau adalah seorang yang amat berjasa dalam melaksanakan dasar "pembersihan" dalam Islam.

Apabila umat Islam sudah mula menyimpang dan mencampur adukkan unsur-unsur bid'ah dan khurafat dalam ajaran Islam pada zamannya maka beliau tampil berusaha mengembalikan mereka ke landasan Islam yang sebenarnya. Beliau juga meninggalkan ratusan buah kitab karangannya yang menjadi rujukan sehingga sekarang. Karangan terbesarnya ialah Fatawa Ibnu Taimiyyah yang menjadi rujukan ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari ini. Beliau meninggal dunia hari Isnin, 20 Zulkaedah 728 Hijrah. (28 September 1328 Masihi), dalam usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih dari 20 hari.

Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran. Walaupun beliau juga seorang yang banyak dibenci orang kerana pendirian tegasnya, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang wanita.

SUARA AN-NUR








Sila Click Pada Imej Untuk lebih Jelas





















Aug 30, 2010

Sudahkah Anda Membayar Zakat Fitrah

Kaunter zakat fitrah dibuka setiap hari Surau An-Nur Selepas Maghrib hingga lepas solat tarawih . Kadar bayaran adalah RM7 seorang. Hubungi amil zakat kami untuk sebarang kemusykilan atau ingin membuat bayaran di tempat anda :

Dr.Muhammad Zain - H/P -( H/P 012-2005595)

Aug 29, 2010

Majlis Berbuka Puasa

Tempat : Surau An-nur

Masa : 7.00 pm

Aturcara Majlis : 6.30 - 7.00 - ketibaan para jemaah
7.00 - 7.20 - Tahlil Ringkas
7.22 - Berbuka puasa
7.35 - Solat Maghrib berjemaah
8.00 - Jamuan Makan
8.32 - Solat Isya Berjemaah
9.00 - Tazkirah Ringkas oleh Ustaz Jemputan
9.20 - Solat Tarawih
10.15 - Moreh
10.45 - Bersurai

Dijemput para jemaah beramai-ramai kemajlis berbuka puasa, semoga dengan kehadiran jemaah sekelian akan dapat mengeratkan lagi tali silaturahim sesama kita.

Allahamdulillah program berbuka puasa anjuran Surau annur telah selamat dan mencapai objektifnya.Pihak AJK Surau Annur mengucpkan berbanyay-banyak terima kasih kepada jemaah yang menghadiri program berbuka puasa ini. Terima Kasih juga kepada AJK surau yang bertungkus lumus menguruskan program ini. Semoga pengorbanan dan keiklasan tuan-puan mendapat ganjaran daripada Allah s.w.t..Amin


Kelebihan bulan Ramadan

KELEBIHAN BULAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya
selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila
telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan
diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud
:Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan
diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-
3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang
Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan
keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari,
Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e, Malik,Ahmad dan Baihaqi-
4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus
apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus
apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa
antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala
meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata:
Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya
melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai,
maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi
Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan
yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan
waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis
riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS
1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita samasama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini
menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan
menurut segala perintahNya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat
dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam
jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama
dihancurkan iaitu pada 1924.
7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun
percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar
hukum syarak.
8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila
bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.
Sumber Rujukan:-
1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl- Qaisi, Maktabah Al-Mnarah,Makkah.
2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani
3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

ADAB BERPUASA DI BULAN RAMADHAN
Oleh NAZMI AIDARUS (Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Terengganu)
Sumber rujukan: http://www.utusan.com.my
Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang
boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:
1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang
tiada kena-mengena dengannya;
2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang
oleh syarak dan yang sia-sia;
3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang
mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk
menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih. Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;
4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati
atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan
suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga,
membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak
binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.:
Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan
dahaga. (Riwayat an-Nasaei)Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);
5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan
bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan
demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;
6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis
makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa
dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.
Kenyang Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t.. Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi) Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu
lapar kesemua anggotamu akan kenyang.” As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;
7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil
kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada
mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada
bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;
8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka
dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta
melambatkan makan sahur. Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);
9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan
beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan
makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang
yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)
10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya. Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.
Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajibwajib'solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.
Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah
solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud,
khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya. Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu
sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w.,
Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan)
beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)

DOA RAMADAN
“Ya Allah, jadikan puasa ku disertai dengan rasa syukur dan diterima olehMu melalui jalan keredaanMu serta keredaan rasulMu, cabangnya yang kukuh dan kekuatan keberkatan, demi kenabian Muhamad saw dan keluarga baginda yang suci dan segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam”.

O Allah, on this day, make my fasts worthy of appreciation and acceptance, according to what pleases You, and pleases the Messenger, the branches being strengthened by the roots, for the sake of our leader, Muhammad, and his purified family. Praise be to Allah, the Lord of the worlds.


Dipetik daripada : Biro Ilmiah Tadika & Taska Umiku Sayang, Rangkaian Tadika & Taski
AsSofea & Tadika & Taska ArRashid

Jul 24, 2010

Nasihat Luqman Kepada Anak-anaknya

Saya tertarik membaca lembaran2 nasihat dari Luqman kepada anaknya... so saya kongsikan dalam blog ini moga kita sama-sama mendapat manfaat.

Nasihat Luqman
1 – Wahai anakku, elakkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu akan menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.
2 – Wahai anakku, sekiranya ibubapa mu marah kepadamu kerana kesilapan yang telah kamu lakukan, maka kemarahan ibubapamu adalah seperti baja untuk menyuburkan tanam tanaman.
3 – Wahai anakku, jika kamu mahu mencari kawan sejati, maka ujilah dia terlebih dahulu dengan berpura pura membuatkan dia marah padamu. Sekiranya dalam kemarahan itu dia masih mahu menasihati dan menginsafkan kamu, maka bolehlah kamu mengambil dia sebagai kawan. Jika berlaku sebaliknya maka berwaspadalah kamu terhadapnya.
4 – Wahai anakku, bila kamu mempunyai teman karib, maka jadikanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Sebaliknya biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.
5 – Wahai anakku, jagalah dirimu supaya tidak terlalu condong kepada dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana kamu diciptakan Allah bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunia.
6 – Wahai anakku, janganlah kamu ketawa jika tiada sesuatu yang menggelikan, janganlah kamu berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah kamu bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan harta mu pada jalan maksiat.
7 – Wahai anakku, sesiapa yang bersifat penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada mengeluarkan perkataan yang sia-sia, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu dia akan menyesal kelak.
8 – Wahai anakku, bergaullah dengan orang yang soleh dan berilmu. Bukalah pintu hati mu dan dengarkanlah segala nasihat dan tunjuk ajar darinya. Sesungguhnya nasihat dari mereka bagaikan mutiara hikmah yang bercahaya yang dapat menyuburkan hatimu seperti tanah kering lalu disirami hujan.
9 – Wahai anakku, sesungguhnya dunia ini bagaikan sebuah kapal yang belayar di lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Jika engkau ingin selamat, maka belayarlah dengan kapal yang bernama ‘taqwa’, isinya ialah ‘iman‘ dan layarnya adalah ‘tawakkal kepada Allah’.
10 – Wahai anakku, jika kamu mempunyai dua undangan majlis, iaitu majlis takziah kematian atau majlis perkahwinan, maka utamakanlah majlis kematian, kerana ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri majlis perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada keseronokan duniawi sahaja.
11 – Wahai anakku, janganlah kamu terus menelan apa sahaja yang kamu rasa manis janganlah terus meludah sahaja apa yang kamu rasa pahit, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kelemahan.
12 – Wahai anakku, janganlah kamu makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya adalah lebih baik jika bahagian dari yang kenyang itu diberikan kepada anjing sahaja.
13 – Wahai anakku, janganlah kamu menjadi lebih lemah dari seekor ayam jantan, kerana ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan kamu pada waktu itu masih terbaring di atas katilmu.
14 – Wahai anakku, jangan kamu melantik seseorang yang bodoh menjadi utusanmu. Jika tiada siapa yang lebih cerdas, pintar dan bijak maka sebaiknya dirimu sendirilah yang menjadi utusan.
15 – Wahai anakku, orang yang bersedia untuk mendengar nasihat dan bimbingan dari orang yang lebih alim, maka dia layak untuk mendapat penjagaan dari Allah tetapi bagi orang yang insaf setelah menerima teguran maka dia lebih layak untuk mendapat kemuliaan dari Allah.
16 – Wahai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah, maka dia tawadduk kepada Allah, dia akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah.
17 – Wahai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.
18 – Wahai anakku, kamu telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana kamu mempunyai jiran yang jahat.
19 – Wahai anakku, jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.
20 – Wahai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bila mana kamu selalu mencari ilmu tetapi kamu tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.
21 – Wahai anakku, jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya yang akan mendatangkan cela pada dirimu.
22 – Wahai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.
23 – Wahai anakku, apabila kamu menghampiri kediaman sesuatu kaum, ucaplah salam. Kemudian duduklah ditempat yang telah disediakan oleh mereka. Jangan mulakan perbualan sehingga mereka mulakannya. Sekiranya mereka suka berzikir maka sertailah mereka, jika sebaliknya maka jauhilah mereka dan sertailah kelompok lain.
24 – Wahai anakku, bertakwalah kepada Allah, orang lain tidak akan tahu engkau takut kepada Allah s.w.t hanya untuk dihormati, sedangkan hatimu menyimpang daripada kebenaran.
25 – Wahai anakku, janganlah engkau terlalu menyayangi orang jahil kerana dia akan menganggap kamu bersetuju dengan perbuatannya. Janganlah engkau menghina sesuatu yang dibenci oleh orang bijaksana kerana dia akan terus meninggalkanmu.
26 – Wahai anakku, ketahuilah bahawa kekuasaan berada pada mulut orang-orang yang bijaksana. Mereka tidak berkata-kata melainkan dengan apa yang dikurniakan Allah s.w.t
27 – Wahai anakku, janganlah engkau menyesal kerana berdiam sahaja. Sesungguhnya percakapan itu berharga perak, sedangkan berdiam diri berharga emas.
28 – Wahai anakku, hindarilah dirimu daripada kejahatan, nescaya ia akan menjauhimu. Sesungguhnya kejahatan itu untuk sejahat-jahat makhluk.



29 – Wahai anakku, pilihlah majlis-majlis yang mengingati Allah, sertailah mereka, sekiranya engkau seorang yang berilmu engkau dapat memanfaatkan ilmumu. Sekiranya engkau seorang yang bodoh mereka akan mengajarmu. Allah akan merahmatimu dan juga mereka. Wahai anakku janganlah engkau menyertai majlis-majlis yang tidak mengingati Allah, sekiranya engkau seorang yang berilmu, engkau tidak dapat memanfaatkannya. Sekiranya engkau seorang yang bodoh, engkau akan bertambah bodoh. Allah akan murka kepadamu dan kepada mereka.
30 – Wahai anakku, janganlah engkau makan makanan yang tidak bersih. Bermesyuaratlah dalam urusanmu yang berbentuk ilmu.
31 – Wahai anakku, janganlah beriri hati dan tanding menandingi kerana ia meluaskan medan pertumpahan darah orang yang beriman. Pertumpahan darah dianggap oleh Allah sebagai pembunuhan, bukan kematian.

32 – Wahai anakku, sesungguhnya kebijaksaaan itu meletakkan orang miskin pada taraf raja-raja.
33 – Wahai anakku, hendaklah kamu ingat kebaikan orang dan lupa kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu terhadap orang dan ingatlah kejahatan yang kamu lakukan kepada orang.